“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja, ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata Tan Sri Harussani kepada TvSelangor.
“Selepas dia membuat tuduhan orang itu berzina, dia perlu kemukakan bukti bukannya bersumpah.
"Menuduh orang berzina itu maknanya Qazaf, qazaf ini bukan bersumpah tetapi perlu bawa bukti,” tambah beliau.
Penceramah bebas Badrulamin menegaskan sumpah laknat jelas tidak sesuai digunakan dalam isu video lucah dan ia akan hanya mengusutkan keadaan.
“Sumpah laknat dalam kes video seks ini tidak menurut ajaran Islam dan hanya menurut logik dan akal manusia. Ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang berleluasa dalam masyarakat kerana andai kata kedua-dua pihak sanggup bersumpah ia tidak akan selesaikan sebarang masalah,” kata beliau.
“Jika kita hendak menghentikan fitnah yang sedang melanda ummat ini hanya ada satu jalan iaitu melaksanakan hukum Qazaf,” kata beliau.
Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz berkata, sumpah laknat yang dilakukan Trio Datuk T, tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.
Beliau merujuk tindakan salah seorang individu terbabit, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dikatakan mahu mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Sentul selepas solat Jumaat esok.
“Sumpah untuk nak buktikan tuduhan zina cuma boleh dilakukan terhadap isteri sahaja. Itu dipanggil sebagai sumpah Li’an. Itu dinyatakan dalam Al Quran Surah An Nur ayat ke 6 hingga ke 10, ” ujarnya kepada Keadilandaily.
“Sumpah li’an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak ‘laku’ kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak ‘laku’ kalau tidak membabitkan suami dan isteri,
“Sumpah yang dilakukan Datuk T ini tidak terpakai dan tak boleh pakai,” tegas beliau.
Katanya, sumpah muhabalah seperti yang diperkatakan ramai orang pula, hanya melibatkan persoalan akidah dan tidak ada kaitan dengan hukum syarak.
“Sumpah Muhabalah cuma nak menyatakan dalam soal perdebatan akidah dan ia tidak menyangkut paut dengan hukum syarak. Ia berkenaan akidah sahaja. Misalnya perdebatan antara ahli kitab dan orang Islam, dalam tuduhan seks tidak ada sumpah muhabalah.
Justeru, katanya, tindakan Datuk T yang terdiri daripada Shazryl Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim itu tidak diterima dalam kaedah perundangan Islam.
Dalam kes fitnah membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shamsul berkata, di dalam Islam, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan hukum syarak.
“Dia (Datuk T) kena ikut proses, sebab itu perlu membawa empat saksi. Kriteria saksi ini mesti lah memenuhi syarat seperti adil, tidak fasik dan tidak buat dosa-dosa besar,” jelas beliau.
Ketika ditanya mengenai hukum daripada tindakan individu berkenaan, Shamsul berkata sumpah yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan kepada yang dituduh mahupun yang menuduh.
“Ia tidak boleh dijadikan asas sebagai penerimaan bukti samada betul atau tidak,” tambahnya.
Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron pula mengingatkan umat Islam supaya jangan sewenangnya mempermainkan agama dengan merujuk tindakan individu berkenaan.
“Jangan sampai kita semua dilaknat Allah! Siapa ajar sumpah-sumpah ini? Agama apa? Kenapa di masjid? Sumpah bukan ajaran Islam, ikut Islam sebat je mereka ini,” katanya sambil menyeru umat Islam merujuk surah An-Nur ayat 4.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan