Jumaat, 29 April 2011

"Game' komputer hina Islam digilai remaja


Satu permainan komputer yang digilai remaja negara ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah pemainnya kerana ia mengandungi elemen menghina Islam apabila memaparkan kalimah Allah dan kaabah.
Pemain permainan itu (Devil May Cry 3) didakyah kononnya mereka berjihad untuk menentang syaitan kerana dikehendaki menewaskan makhluk itu untuk menembusi 12 pintu sebelum ‘penghulu syaitan’ menanti mereka di pintu terakhir iaitu pintu kaabah.
Elemen penghinaan ke atas Islam jelas tertera apabila kalimah Allah dipaparkan di setiap pintu yang dikawal syaitan termasuklah di pintu kaabah.
Sehubungan itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Rohayu Rusli menggesa tindakan tegas harus diambil dengan serius oleh pihak kerajaan dan pihak berwajib.
Difahamkan permintaan tinggi terhadap permainan itu menyebabkan pihak pengeluar kini sudah mengeluarkan empat edisi bagi permainan berkenaan sejak mula memasarkannya pertengahan tahun lalu.

Khamis, 28 April 2011

Sumpah Datok T tidak ikut ajaran islam

Dua tokoh agama iaitu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Dr Badrulamin Bahrom berkata cara terbaik menyelesaikan isu video lucah adalah mengikut syariat Islam iaitu dengan menfailkan pertuduhan qazaf.

“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja,  ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata Tan Sri Harussani kepada TvSelangor.
 “Selepas dia membuat tuduhan orang itu berzina,  dia perlu kemukakan bukti bukannya bersumpah.
"Menuduh orang berzina itu maknanya Qazaf, qazaf ini bukan bersumpah tetapi perlu bawa bukti,” tambah beliau.
Penceramah bebas Badrulamin menegaskan sumpah laknat jelas tidak sesuai digunakan dalam isu video lucah dan ia akan hanya mengusutkan keadaan.
“Sumpah laknat dalam kes video seks ini tidak menurut ajaran Islam dan hanya menurut logik dan akal manusia.  Ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang berleluasa dalam masyarakat kerana andai kata kedua-dua pihak sanggup bersumpah ia tidak akan selesaikan sebarang masalah,” kata beliau. 
“Jika kita hendak menghentikan fitnah yang sedang melanda ummat ini hanya ada satu jalan iaitu melaksanakan hukum Qazaf,” kata beliau.
Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz berkata, sumpah laknat yang dilakukan Trio Datuk T, tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.
Beliau merujuk tindakan salah seorang individu terbabit, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dikatakan mahu mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Sentul selepas solat Jumaat esok.
“Sumpah untuk nak buktikan tuduhan zina cuma boleh dilakukan terhadap isteri sahaja. Itu dipanggil sebagai sumpah Li’an. Itu dinyatakan dalam Al Quran Surah An Nur ayat ke 6 hingga ke 10, ” ujarnya kepada Keadilandaily.
“Sumpah li’an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak ‘laku’ kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak ‘laku’ kalau tidak membabitkan suami dan isteri,
“Sumpah yang dilakukan Datuk T ini tidak terpakai dan tak boleh pakai,” tegas beliau.
Katanya, sumpah muhabalah seperti yang diperkatakan ramai orang pula, hanya melibatkan persoalan akidah dan tidak ada kaitan dengan hukum syarak.
“Sumpah Muhabalah cuma nak menyatakan dalam soal perdebatan akidah dan ia tidak menyangkut paut dengan hukum syarak. Ia berkenaan akidah sahaja. Misalnya perdebatan antara ahli kitab dan orang Islam, dalam tuduhan seks tidak ada sumpah muhabalah.
Justeru, katanya, tindakan Datuk T yang terdiri daripada Shazryl Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim itu tidak diterima dalam kaedah perundangan Islam.
Dalam kes fitnah membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shamsul berkata,  di dalam Islam, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan hukum syarak.
“Dia (Datuk T)  kena ikut proses, sebab itu perlu membawa empat saksi. Kriteria saksi ini mesti lah memenuhi syarat seperti adil, tidak fasik dan tidak buat dosa-dosa besar,” jelas beliau.
Ketika ditanya mengenai hukum daripada tindakan individu berkenaan, Shamsul berkata sumpah yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan kepada yang dituduh mahupun yang menuduh.
“Ia tidak boleh dijadikan asas sebagai penerimaan bukti samada betul atau tidak,” tambahnya.
Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron pula mengingatkan umat Islam supaya jangan sewenangnya mempermainkan agama dengan merujuk tindakan individu berkenaan.
“Jangan sampai kita semua dilaknat Allah! Siapa ajar sumpah-sumpah ini? Agama apa? Kenapa di masjid? Sumpah bukan ajaran Islam, ikut Islam sebat je mereka ini,” katanya sambil menyeru umat Islam merujuk surah An-Nur ayat 4.

Dunia Hiburan Hipokrit, Bob Lokman Nekad Bersara


Bob Lokman menyerahkan borang keahlian Pas kepada Menteri Besar Kedah, Azizan Abd Razak sempena Himpunan Pemuda Pas di Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah pada 19 Februari lalu. - Gambar petikan tvpas.com
PETALING JAYA: Pelawak Bob Lokman, 47, akhirnya membuat keputusan muktamad untuk bersara sebagai seorang pelakon selepas membuat keputusan untuk terlibat dengan aktiviti dakwah selain menjadi ahli PAS.
Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia sudah tidak mempercayai dunia hiburan yang dianggapnya sebagai hipokrit selain terdapat unsur-unsur yang tidak baik di dalamnya.
"Saya membuat keputusan untuk bersara kerana mendapati selama berkecimpung dalam dunia seni, banyak perkara yang tidak elok berlaku dalam bidang itu.
"Lagipun saya merasakan sekarang tibalah masanya untuk saya beralih menjadi seorang pendakwah," katanya kepada mStar Online, di sini, Rabu.
Gambar kenangan Bob bersama Allahyarham Din Beramboi dan Afdlin Shauki ketika menjadi juri Gelanggang Raja Lawak musim keempat.
Bob yang pernah popular dengan lirik ciptaannya, Issabella nyanyian kumpulan Search memberitahu, dia tidak menyesal dengan keputusan tersebut walaupun rezekinya sebagai pendakwah tidak semewah berbanding ketika dia menjadi artis dahulu.
Bagaimanapun Bob yang mempunyai masalah penyakit Pankreas itu reda dengan hal itu demi mendapatkan hidayah dan berkat di dunia dan akhirat nanti.
Tambahnya, sejak 19 Februari lalu, dia kini lebih selesa berdakwah dan sekurang-kurangnya memberi ceramah sebanyak tiga kali sehari.
"Sebelum meninggal dunia, lebih baik saya melakukan amal jariah sebanyak yang mungkin. Sekurang-kurangnya, saya tidak mati dalam keadaan yang leka dan melakukan perkara yang sia-sia.
"Sebenarnya industri hiburan kita boleh menjadi lebih elok jika kita ubah sistemnya kerana Islam membenarkan umatnya melakukan apa sahaja tetapi dengan syarat-syarat tertentu," tuturnya.
Kata Bob, sejak bergelar seorang pendakwah, dia jarang bertemu dengan rakan-rakan artisnya melainkan mereka yang mendengar ceramahnya atau bertemu dia di masjid antaranya ialah Cico, Abu Bakar Omar, Wahid Senario, Adam AF dan Ahmad Fedtri Yahya

Rabu, 27 April 2011

Laawatan Imam Masjidilharam tiadakaitan wahabi -Menteri Jamil Khir

Kunjungan Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais ke Malaysia minggu lalu tidak membabitkan motif mahu mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, beliau berkata kedatangan Sheikh Abdul Rahman sempena lawatan kerja lima hari adalah untuk mengeratkan hubungan antara dua Negara — Malaysia dan Arab Saudi.
Malah kata beliau, Sheikh Abdul Rahman datang ke Malaysia atas jemputan negara ini dalam usaha untuk memupuk kerjasama yang lebih erat.
“Kehadiran Imam Besar Masjidil Haram ini atas jemputan negara dalam usaha mengeratkan lagi hubungan antara dua negara... jadi tidak timbul soal nak wujudkan atau bawa fahaman Wahabi. Sebagai sebuah negara Islam kita terima pemimpin agama termasuk Imam Besar Masjidil Haram ini.
“Kita hormati kehadiran dan pandangan beliau (Sheikh Abdul Rahman) tentang Islam, malah saya tidak nampak kehadiran beliau melalui program-program yang kita anjurkan ada usaha-usaha untuk menyuntik fahaman Wahabi,” katanya.
Dalam komen kepada The Malaysian Insider susulan tulisan dalam facebooknya, Zamihan Mat Zin, seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan”.
Zamihan  yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.
Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”
Seminar dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.
“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.
“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.
Jelas Jamil Khir, dakwaan yang dikeluarkan itu tidak berasas malah akan memberikan persepsi yang buruk kepada negara.
“Kalau kita teliti semula, kehadiran beliau (Sheikh Abdul Rahman) hanya untuk merapatkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi... kita nak eratkan hubungan antara dua negara ini, malah Imam Besar Masjidil Haram ini juga memuji cara kita menguruskan jemaah haji di Malaysia.
“Sebab itu saya kata kehadiran beliau hanya untuk mengeratkan hubungan dua negara dan bukan untuk tujuan lain termasuk seperti yang didakwa,” katanya.
Justeru beliau sekali lagi menegaskan kedatangan Sheikh Abdul Rahman adalah untuk mewujudkan kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Melihat kepada cara beliau bercakap, menghormati orang lain, malah turut memberi pandangan agar umat Islam bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran... kita menerima pandangan yang dikemukakan itu.
“Jadi pada saya tidak wujud usaha-usaha untuk menyuntik fahaman Wahabi seperti mana yang dikatakan. Saya bercakap atas dasar fakta bukan andaian. Kehadiran Imam Besar Masjidil Haram ini adalah untuk eratkan hubungan, itu sahaja... tiada tujuan lain,” tegas Jamil Khir.
Pada Jumaat lalu, Sheikh Abdul Rahman menggesa umat Islam berpegang teguh kepada al-Quran dan As-Sunah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.
Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian.
“Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah mengenai pentingnya berpegang teguh dengan al-Quran dan As-Sunah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam),” katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan.
Khutbah beliau bertajuk “Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa” diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Datuk Mahamud Abdul.
Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menerima kunjungan hormat Sheikh Abdul Rahman dalam rangka lawatan kerja itu.
Najib juga menyifatkan kunjungan Sheikh Abdul Rahman itu adalah satu pengiktirafan terhadap usaha kerajaan Malaysia bagi menegakkan Islam di negara ini.

Selasa, 26 April 2011

Imam Besar Masjidil Haram bawa Wahabi ke Malaysia.


Seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia minggu lalu, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”
Zamihan Mat Zin, yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia berkata, lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.
Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”
Seminar dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.
“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.
“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata . . . ada tangan . . . ada kaki . . . itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.
Tahun lalu Zamihan telah menimbulkan kontroversi apabila dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.
Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.
Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.
Tegas beliau, amalan dan ajaran yang dibawa Sheikh Abdul Rahman bukan metodologi Ahli Sunah Waljamaah dan ia bertentangan dengan amalan umat Islam.
“Sebab itu (ajaran Sheikh Abdul Rahman) bukan metodologi Ahli Sunah Waljamaah, sebaliknya ia merupakan metodologi sebahagian amalan al-Hanabilah al-Mujassimah dan metodologi ini bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah yang kita amalkan di Malaysia.
“Memandangkan metodologi ini dipopularkan ajaran Wahabi dan ulama bangkit menentangnya, maka metodologi ini tidak perlu disebarkan kepada umat Islam dalam apa jua pendekatan kerana ia bukan metodologi yang benar yang diwarisi dari Rasulullah,” katanya.
Kata Zamihan, beliau menentang keras tindakan Sheikh Abdul Rahman yang cuba mewujudkan suasana tidak senang di kalangan umat Islam dengan membawa fahaman yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah.
“Jika ia (amalan Wahabi) mahu dipraktikkan di Arab Saudi terpulanglah, tapi kita di Malaysia mengamalkan metodologi Ahli Sunah Waljamaah yang jelas iaitu berpegang dengan prinsip akidah yang dirintis dari Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari bermazhab Shafie dan berpandukan metodologi tasawuf dari kalangan ulama sufi yang muktabar.
“Imam Besar Masjidil Haram ini juga pernah membuat (mencetuskan) kontroversi apabila mengemukakan pandangan bahawa orang Islam dilarang menziarai makam Nabi, malah saya ada bukti lain yang menunjukkan beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi.
“Malah dalam seminar yang dihadiri beliau pada Sabtu dan Ahad lalu juga, hampir keseluruhan jurucakap dan tetamu yang hadir mengamalkan metodologi Wahabi, tapi gunakan nama lain daripada diketahui dan ini mengelirukan umat Islam,” katanya.
Justeru, kata beliau, pihak berkuasa terutamanya polis dan jabatan agama Islam harus menyiasat perkara tersebut agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Selain itu, Zamihan juga mempersoalkan bagaimana penceramah-penceramah dari luar negara dibenarkan untuk bercakap soal agama tanpa permit.
“Kedatangan Imam Besar Masjidil Haram ini kalau untuk kegiatan umat Islam tiada masalah tapi kalau nak bawa metodologi ia tidak wajar . . . tindakan ini akan mengelirukan umat Islam dan wajar pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini.
“Kalau nak masuk Singapura pun kena ada permit tapi bila orang luar berucap pasal agama dan nak bawa metologi Wahabi tidak perlukan permitkah? Sheikh Abdul Rahman datang dengan tujuan untuk semai fahaman Wahabi dan ini tidak wajar,” katanya yang turut menjadi perhatian ekoran satu seminar di Singapura awal tahun lalu.
Pada Jumaat lalu Sheikh Abdul Rahman menggesa umat Islam berpegang teguh kepada al-Quran dan As-Sunah demi memastikan mereka kekal bersatu padu. 
Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian.
“Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah mengenai pentingnya berpegang teguh dengan al-Quran dan As-Sunah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam),” katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan.
Khutbah beliau bertajuk “Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa” diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia, Datuk Mahamud Abdul. 

‘Haram’ baca Utusan, akhbar fitnah- Dr Haron Din


Umat Islam di negara ini disaran tidak membeli dan membaca Akhbar Utusan Malaysia kerana media tersebut boleh dikategori sebagai “haram” dari sudut Islam, tegas ulama terkemuka tanahair, Profesor Datuk Dr Haron Din Al Hafiz.
Menurutnya, mana-mana media yang menghalalkan amalan fitnah, cubaan mengaibkan orang lain, menggalakkan berlakunya perpecahan umat Islam dan perpaduan kaum adalah haram untuk dibeli dan dibaca.
“Islam adalah agama penyatuan, agama perpaduan, agama yang saling hormat menghormati dan agama yang memberi rahmat kepada sekelian alam.
“Islam menegah amalan menyebarkan berita yang tidak baik seperti mengaibkan orang lain. Hukum Syarak menegah segala amalan yang dibawa oleh mulut atau pun media seperti ini,” jelas beliau.
Kenyataan Haron Din itu disiar dalam akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan yang boleh diperolehi di pasaran mulai hari ini.
Menurut Dr Haron, Al-Quran juga menyatakan “Maka sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan berita-berita yang keji (menjatuhkan maruah seseorang), maka bagi mereka itu azab siksa di dunia dan di akhirat.
Menurutnya lagi, berdasarkan hukum Fekah yang di sebut dalam kitab Fekah, Manhaji menyatakan, haram ke atas orang Islam menyebarkan berita keji ke atas orang Islam, tidak kira sama ada peritiwa itu benar atau sebaliknya.
“Kalau berita itu palsu ia adalah suatu fitnah jahat yang mengundang bala Allah yang segera. Kalaulah ia benar maka ia membuka ruang fitnah yang mengundang pelbagai keburukan, sedangkan sepatutnya ia menutup perkara tersebut.” jelas beliau.

Rabu, 20 April 2011

Beberapa Larangan Rasulullah s.a.w


Hadith:
DARI al-Mughirah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda: "Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya."
Riwayat Bukhari
Huraian Hadith:
Dosa-dosa besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka.
Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam.
Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang datang menimpa tidak pernah berkesudahan.
Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.
Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah, segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil dorongan hawa nafsu.
Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa. Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi orang lain.
Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga. Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan.
Oleh itu sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa berada di dalam keredhaan Ilahi.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Rabu, 13 April 2011

haram poco-poco belum diwarta


Tan Sri Harussani Zakaria mengakui sesiapa yang terlibat dalam tarian poco-poco di Perak boleh dikenakan tindakan termasuk  ditangkap hanya selepas fatwa berkenaan, yang diputuskan Februari lalu, digazetkan.
Bagaimanapun Mufti Perak itu berkata, proses untuk menggazetkan keputusan pengharaman tarian poco-poco mengambil masa selain perlu mendapat perkenan Sultan Perak selaku ketua agama negeri.
Kata Harussani (gambar), beliau juga perlu menjelaskan pengharaman tarian poco-poco kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mendapatkan pandangan.
“Belum digazetkan lagi... belum lagi... bila isu ini timbul saya akan bincang dulu, saya akan bincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti-mufti. Saya perlu jelaskan dulu alasan kenapa saya haramkan tarian poco-poco di Perak,” kata beliau.
Bagaimanapun kata beliau, ia tetap haram walaupun belum diwartakan lagi.
“Tapi hukum tetap sama, haram tetap haram cuma sekarang kita masih belum gazetkan lagi sebagai undang-undang, nak gazetkan perlu ambil masa dan saya juga perlu dapat perkenan Sultan Perak dulu, kalau diber perkenan kita akan gazetkannya,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelas beliau, walaupun masih belum digazetkan, namun tarian poco-poco yang telah diharamkan sejak Januari lalu tetap tidak boleh diamalkan di Perak kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.
“Ia tetap tidak boleh diadakan di Perak, haram tetap haram. Bagi siapa yang buat, dia berdosa kerana melakukan perkara yang haram dalam Islam.
“Cuma kalau tidak digazetkan, kita tidak boleh ambil tindakan. Sebagai contoh, kalau ada pihak yang buat tarian poco-poco di Perak, kita tidak boleh ambil tindakan tapi kalau sudah digazetkan kita boleh tangkap siapa yang menari poco-poco,” katanya.
Tegas Harussani, beliau berharap agar kerajaan negeri Perak akan mematuhi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Fatwa negeri itu.
“Kita harap semua pihak agar menghormati dan mematuhi keputusan yang telah dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, apa yang kita buat ini adalah demi kebaikan umat Islam.
“Kita haramkan tarian poco-poco sebab itu bercanggah dengan ajaran Islam selain mempunyai kepercayaan agama lain,” katanya.
Sebelum ini Harussani berkata, pihaknya tidak akan menarik balik pengharaman tarian poco-poco dan bersedia untuk memberi penjelasan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan akhir bulan ini.
Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa negeri itu membuat keputusan mengharamkan tarian poco-poco selepas membuat kajian dan penelitian mendalam.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah mengambil kira sembilan asas, antaranya soal akidah dan kepercayaan umat Islam lebih penting daripada penjagaan kesihatan apabila memutuskan tarian poco-poco sebagai haram.
Ekoran pengharaman itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco.

Jumaat, 8 April 2011

air zam-zam palsu dipasaran


 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan memang ada air zam-zam yang dijual di negara ini dicampur dengan air telaga dan air bukit.
Menurutnya, tindakan yang tidak bertanggungjawab itu dijalankan oleh pihak-pihak swasta yang mengambil air galian daripada sebuah telaga di Pahang dan air bukit di Hulu Yam, Selangor.
"Saya difahamkan, ada kelompok-kelompok individu yang menjual dan mencampurnya dengan air zam-zam ini. Dalam konteks ini, cukup payah untuk mengenal pasti sebab ia air. Sama warna iaitu putih.
"Sekarang bukan sahaja air zam-zam palsu malah telur pun ada yang tiruan di mana sepatutnya telur ini datang daripada binatang yang bertelur," katanya di sini semalam.
Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai kebimbangan orang ramai kemungkinan terdapat penjualan air zam-zam tiruan ekoran ia semakin banyak di pasaran pada masa ini.
Menurut Jamil Khir lagi, kajian saintifik mendapati, air galian memang ada persamaan dengan air zam-zam tetapi bimbang persamaan itu digunakan untuk menipu pengguna

JAWI: KHUTBAH JUMAAT PERANGI FILEM LUCAH


Umat Islam mesti menangani gejala ‘filem’ haram dengan mengelakkan diri dari terlibat memiliki dan menonton rakaman berunsur lucah serta memerangi pengedarannya.
Demikian antara kandungan teks khutbah Jumaat esok berjudul ‘Membanteras Filem Haram’ yang diterbitkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi dalam laman rasminya di sini.
“Usaha-usaha perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan bencana yang bakal menimpa umat Islam yang hidup bergelumang dengan dosa,” tulis khutbah berkenaan.
Pada perenggan ke 22, khutbah itu membawa mesej  ‘menggalakkan tangkapan awam’ apabila menyatakan umat Islam harus bekerjasama dengan memberi tindak balas kepada agensi yang menguat kuasa Akta Penapisan Filem 2002
Khutbah itu menyatakan akta itu berperanan menguat kuasa undang-undang bagi melindungi negara dan rakyat dari pengaruh buruk dan unsur negatif yang dipapar dalam filem berunsur lucah.
Mereka yang melanggar akta berkenaan, boleh dihukum penjara maksiumum lima tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Khutbah itu mengingatkan, ia cuma hukuman dunia sedangkan hukuman di akhirat lebih dahsyat dan menggerunkan bagi mereka yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
Ia juga mengingatkan umat Islam supaya tidak melepaskan tanggungjawab itu kepada kerajaan sahaja kerana ia adalah amanah Allah kepada rakyat sebagai khalifah di muka bumi.
Berikutan penyebaran filem lucah yang berleluasa, khutbah itu turut menyatakan umat Islam hanyut dengan peredaran masa hingga lupa kepada Allah SWT dalam mengejar memewahan hidup dan keseronokan hiburan.
Ia menyatakan masalah itu mendatangkan krisis sosial, menyebabkan remaja terdedah kerana mereka kurang matang dan mahu mencuba sesuatu yang baru serta mudah terpedaya dan terpengaruh.
Masalah sosial itu, mengikut khutbah itu, menggalakkan pergaulan bebas melalui paparan adegan lelaki dan perempuan tanpa batasan yang merangsang pelakuan zina, sekali gus memberi impilikasi buruk terhadap pembentukan generasi akan datang.